3 SEBAB ALLAH MENGUJI MANUSIA
1. KIFARAH
Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika ketika itulah ia diuji oleh Allah. Tuhan menjadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai tebusan untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya.
Ertinya, Tuhan membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya dari balasan di Akhirat. Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbanding azab di Akhirat. Dengan kifarah orang baik itu akan mendapat peringatan dan amaran atas kesalahan dan keterlanjurannya lalu bertaubat kepada Allah.
"Dan Kami timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar(Az-Zukhruf : 48)"
2. BALA
Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum di Akhirat dengan hukuman yang lebih berat. Dengan kemurkaanNya Allah turunkan kepedihan di dunia lagi sebelum diazab di neraka. Mereka akan diazab dua kali, pertama di dunia dan kedua di negeri Abadi.
Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Umat Nabi Nuh ditenggelamkan banjir, Firaun ditelan Laut merah, Qarun ditelan bumi, kaum ¡®Aad, Tsamud oleh hujan batu dan bencana alam yang lain.
"Dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. (At-Taubah : 74)"
3. IBTILA'
Ini adalah ujian terhadap orang baik yang sedang melakukan kebaikan. Ini adalah tanda kasih-sayang Allah kepada hambaNya yang taat. Justeru dengan Ibtila hamba itu akan mendapat pahala dan ditinggikan pula darjatnya di sisi Tuhan.
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah dari Tuhan. Maka dengan ujian bentuk inilah ada kalangan para Rasul ditingkatkan ke darjat Ulul Azmi yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Ringkasnya, Ibtila ialah ujian ke atas orang baik yang sedang melakukan kebaikan. Golongan para Nabi, siddiqqin, syuhadaq dan solehin adalah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk Ibtila ini. "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?
Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah : 214)"
No comments:
Post a Comment